Nabi Sulaiman A.S - Menjadi Insan yang Rendah Diri


 

Sebagai seorang muslim, kita tahu bahawa Nabi Sulaiman A.S merupakan antara nabi yang cerdas dan kaya raya. Namun begitu, Nabi Sulaiman tidak pernah bersikap lupa diri dan tidak bersyukur. Hatta, Nabi Sulaiman A.S bukan sahaja boleh berbual dengan ciptaan Allah SWT yang lain, namun, beliau juga berbuat baik dan memastikan mereka semua tidak dizalimi dan diambil mudah.

arab man

 

Alkisah pada suatu hari, Nabi Sulaiman A.S mengumpulkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin-jin dan burung-burung untuk menyertai sebuah peperangan. Dalam perjalanan mereka ke daerah Ta'if, mereka termasuk di sebuah kawasan lembah dan terdapat banyak sarang semut di situ. Alangkah takutnya para semut bila mereka dapat tahu bahawa Nabi Sulaiman A.S dan bala tenteranya akan melalui jalan ini. Mereka takut dipijak-pijak sehingga mati.

Raja Semut yang bernama Jirsan itu pun memerintahkan para semut yang lain untuk masuk ke dalam sarang masing-masing sebagaimana yang tertulis di dalam surah al-Naml, ayat 18:

حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوْا۟ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمْلُ ٱدْخُلُوا۟ مَسَٰكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمْ لَا

يَشْعُرُونَ

''Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari."

 

ants

 

Setelah Nabi Sulaiman A.S mendengar kata-kata Raja Semut itu, beliau pun tertawa. Kemudian, Nabi Sulaiman A.S berasa sangat bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan beliau mukjizat untuk memahami bahasa haiwan sehingga beliau dapat memahami betapa takutnya para semut tersebut. Selepas itu, Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang tertulis di dalam surah al-Naml, ayat 19:

 فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّٰلِحِينَ

"Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh".

Nabi Sulaiman A.S kemudiannya memerintahkan tenteranya untuk berhenti dan mencari jalan lain untuk sampai ke destinasi.

Dari kisah ini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa pentingnya sebagai seorang insan untuk terus bersikap rendah diri. Walau besar mana pun nikmat yang dikurniakan untuk diri ini, tidak semestinya kita boleh bersifat bongkak dan sombong. Seperti Nabi Sulaiman A.S, walau kaya dan bijak mana pun beliau sebagai seorang Nabi, beliau tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Allah SWT dan meminta lindungan daripada-Nya.

Jadi sebagai seorang insan yang banyak melakukan kesilapan, adakah kita berhak untuk menzalimi kenikmatan yang Allah SWT kurniakan?

 

Penulis: Hasanah Maznah

Team Sirah Series


Leave a comment


Please note, comments must be approved before they are published