Saat Berjumpa dengan Iblis - Nabi Idris A.S


Dilahirkan dalam generasi yang keenam dari keturunan Adam A.S, Nabi Idris A.S menjadi nabi yang ketiga selepas Adam dan Syith. Kisah Nabi Idris A.S tidak sering disebut dalam Al-Quran, malah, namanya hanya disebut sebanyak 2 kali sahaja. Namun, para ahli sejarah tidak pernah putus asa untuk mengkaji tentang nabi yang bijak ini. Nabi yang pertama untuk belajar pelbagai jenis ilmu di dunia.

Nabi Idris dipuji kerana sifatnya yang sangat jujur terhadap Allah S.W.T dan sabar. Antara mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Idris adalah tingkat kecerdasan yang sangat tinggi pada ketika itu. Banyak bidang ilmu yang diceburi Nabi Idris A.S seperti ilmu falak (astronomi), ilmu menjahit dan ilmu menunggang kuda. Tak lupa juga bahawa Nabi Idris A.S merupakan seorang Nabi yang paling bijak dalam menghindari dirinya dari kemungkaran. Satu kepandaian yang hanya beliau peroleh.

astronomy

Antara contohnya adalah ketika Iblis datang kepada Nabi Idris A.S dengan menyerupai seorang lelaki. Ketika itu, Nabi Idris A.S sedang menjahit baju dan disedarinya, lelaki itu sudah berada di depan pintu rumahnya. Lelaki itu pun bertanya pada Nabi Idris A.S, “Wahai Nabi Allah Idris, mampukah Tuhan-mu masukkan seluruh dunia dan isinya di dalam telur ini?”

Disebabkan tahap kebijaksanaan yang tinggi, Nabi Idris sedar bahawa lelaki yang hadir di depan rumahnya ini bukanlah seorang manusia biasa. Kata Nabi Idris, “Marilah ke sini, wahai fulan dan tanyakan soalan itu pada aku”. Iblis berasa puas hati pada ketika itu kerana dia rasa bahawa rancangannya untuk menyesatkan Nabi Idris akan berjaya. Dia pun datang dekat pada Nabi Idris.

Setelah berada dekat dengan Nabi Idris, Iblis pun mengulangi pertanyaannya itu. “Wahai Nabi Allah, mampukah Tuhan-mu memasukkan dunia dan isinya di dalam telur ini?”. Nabi Idris tersengih sinis dan menjawab, “Jangan kata telur sahaja yang Tuhanku boleh masukkan, lubang jarum ini pun Tuhanku berkuasa untuk memasukkan dunia dan isinya ke dalam”. Iblis terkejut mendengar jawapan Nabi Idris dan sepantas kilat Nabi Idris mencocokkan jarum itu ke biji mata Iblis.Terpekik terlolong dibuatnya si Iblis kerana buta mata sebelahnya dek dicucuk jarum Nabi Idris. Dengan lintang-pukang Iblis lari meninggalkan halaman Nabi Idris A.S.

Mata Merah

Selain itu, Nabi Idris A.S juga meninggalkan beberapa nasihat untuk kita gunakan sebagai pedoman dalam hidup agar terus beriman pada Allah SWT.

  1. Bersabar dan beriman pada Allah SWT akan membawa kepada kemenangan.
  2. Untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat, ialah untuk berwaspada dan mengharapkan syafaat daripada Allah SWT dengan amalan soleh.
  3. Ikhlaskan niat dalam melakukan ibadah untuk Allah SWT.
  4. Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak berkomplot dalam dosa.
  5. Berlaku taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan pujian kepada Allah.
  6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang bernasib baik, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati nasib baiknya.
  7. Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.
  8. Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.

Wallahu a’lam 

Penulis: Hasanah Maznan

Team Sirah Series

Sumber Maklumat:

  • Kisah Nabi Idris dan Iblis (https://umma.id/post/kisah-nabi-idris-menusuk-mata-iblis-yang-menyamar-hingga-diangkat-ke-surga-192258?lang=id)
  • Nasihat Nabi Idris A.S (https://www.jalansirah.com/delapan-nasihat-dan-kata-mutiara-dari-nabi-idris.html)

 


Leave a comment


Please note, comments must be approved before they are published