Tafsirkan Mimpi, Bebaskan Diri - Nabi Yusuf A.S


Seorang Nabi yang dikurniakan dengan wajah yang paling kacak, beliau juga disayangi oleh Ayahanda Nabi Ya’qub A.S. Walaupun beliau dibenci dan disingkirkan oleh adik beradiknya, Allah SWT telah kurniakan ke atas dirinya salah sebuah perjalanan yang sangat indah di muka bumi ini. Mendapat nikmat seperti wajah yang kacak tidak pernah mendorong dirinya untuk melakukan maksiat dan melupakan Tuhan yang Esa.

Kita teruskan perjalanan ketika Nabi Yusuf telah dipenjarakan oleh Raja Mesir yang bernama Ar-Rayyan bin Al-Walid kerana peristiwa bersama Zulaikha. Setelah lamanya beliau dipenjarakan, kini, Allah SWT pun turunkan pertolongan menerusi mimpi yang Raja Ar-Rayyan dapat ketika tidur. Pada suatu hari, Ar-Rayyan bermimpi bahawa beliau ternampak 7 ekor sapi betina gemuk dimakan oleh 7 ekor sapi betina kurus. Beliau juga nampak 7 bulir gandum hijau dan 7 bulir gandum kering. Daripada saat itu, Ar-Rayyan merasakan bahawa mimpi ini merupakan satu petanda.

dream

Keesokan harinya, beliau pun memanggil beberapa orang ahli nujum untuk tafsirkan mimpinya semalam. Namun, mereka rata-rata mengatakan bahawa mimpi itu hanyalah permainan tidur. Setelah beberapa berlalu, Ar-Rayyan mula resah akan mimpi itu. Seorang pelayan istana datang padanya dan memberitahu beliau bahawa ada seorang lelaki di dalam penjara yang boleh tafsirkan mimpi.

“Siapakah orangnya itu?” tanya Ar-Rayyan.

“Yusuf, Tuanku” jawab pelayan itu.

Menurutnya, Nabi Yusuf A.S menjadi sahabat karibnya semasa beliau ditugaskan di penjara tersebut. Pelayan itu percaya bahawa Nabi Yusuf A.S adalah orang yang jujur dan benar. Demikianlah, Raja Mesir itu pun memanggil Nabi Yusuf A.S untuk beliau menafsirkan mimpi Sang Raja.

Menurut Nabi Yusuf A.S, mimpi yang Ar-Rayyan dapat bukanlah sekadar permainan tidur, namun satu petunjuk dan arahan dari Allah SWT. Bahawa satu hari nanti, Mesir akan dilanda musim kemarau panjang, maka, Allah SWT mengarahkan untuk rakyat Mesir bercucuk tanam selama 7 tahun lamanya agar tidak akan merasakan kelaparan dan kehausan ketika masanya sudah tiba.

drought

Dalam kitab Tafsir al-Munir, jilid 12, muka surat 277, penulis Dr Wahbah Zuhaili mentafsirkan bahawa sapi-sapi itu menandakan kesuburan tanaman melalui proses penyuburan (fertilisation).

Ternyata, apa yang ditafsirkan Nabi Yusuf A.S memang benar dan Mesir dilanda kemarau selepas 7 tahun mereka bersedia untuk menghadapinya. Ar-Rayyan berasa bersyukur dan berterima kasih terhadap Nabi Yusuf A.S dan daripada situlah bebasnya Sang Nabi daripada diperuk dalam penjara.

Dalam kitab Tafsir al-Munir, jilid 12, muka surat 275, penulis Dr Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa mimpi yang dilalui Ar-Rayyan merupakan sebab untuk bebaskan Nabi Yusuf A.S daripada penjara kerana beliau tidak bersalah. Itulah hikmah atas peristiwa penafsiran mimpi tersebut.

Selepas dibebaskan dari penjara, Nabi Yusuf A.S membersihkan dirinya dan memakai pakaian yang bersih. Dengan itu, beliau ditabal sebagai menteri kewangan Mesir oleh Raja Ar-Rayyan bin al-Walid kerana cekapnya Nabi Yusuf A.S dalam bidang politik dan kewangan pada ketika itu.

Dipetik dari kitab Tafsir al-Munir, jilid 13, muka surat 9:

Berlakulah dialog antara Nabi Yusuf A.S dan Ar-Rayyan:

Nabi Yusuf berdoa sebelum berjumpa dengan Raja tersebut, “Ya Allah, aku mohon padaMu kebaikan daripadanya (Sang Raja) dan aku mohon perlindungan dengan kekuasaan-Mu daripada kejahatannya (Sang Raja)”.

Kemudian, beliau memberi salam dalam bahasa Arab ketika masuk ke dalam kamar Raja.

Ar-Rayyan pun bertanya, “Bahasa apa yang digunakan itu?”.

“Bahasa pakcik-ku, Nabi Ismail, Tuanku” jawab Nabi Yusuf A.S.

“Bahasa apakah itu?” tanya Ar-Rayyan, ingin tahu lagi.

“Bahasa keturunanku” sahut Nabi Yusuf A.S.

Itulah kali pertama bahasa Arab diperdengarkan kepada Raja Mesir yang pada ketika itu menggunakan bahasa Ibrani.

 

Wallahu a’lam

Penulis: Hasanah Maznan

 

 

Team Sirah Series

 

 


Leave a comment


Please note, comments must be approved before they are published