Bersedia Menghadapi Banjir Besar-Nabi Nuh AS


Nabi Nuh AS juga tergolong diantara lima Ulul Azmi, di mana beliau diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan dakwah kepada umat yang sangat mencabar. Kita sering mengaitkan Nabi Nuh AS dengan banjir besar yang melanda tempatnya ketika itu, menjadi azab kepada orang-orang yang tidak mengikut perintah Allah SWT. Namun, salah satu faktor mengapa Nabi Nuh dijadikan ulul azmi adalah kerana darah dagingnya sendiri tidak boleh mengikut risalah yang disampaikannya.

Nabi Nuh AS hidup selama 950 tahun dan ketika beliau berumur 480 tahun, beliau diangkat menjadi Rasul. Dalam surah Nuh, ayat 1, merupakan wahyu pertama yang dihantar kepada beliau oleh Malaikat Jibril. Dengan seraya Jibril berkata kepada Nabi Nuh untuk memberi peringatan kepada seorang raja yang zalim yang bernama, Darmasyil bin Fumail bin Jij bin Qabil bin Adam.

Raja Darmasyil ini merupakan manusia pertama yang memeraskan arak dan meminumnya. Beliau juga orang pertama yang berjudi dan membuat pakaian daripada emas. Ketika zaman inilah, wujudnya amalan menyembah berhala. 5 berhala yang menjadi Tuhan mereka ketika itu ialah Nasr, Wad, Siwa', Yaghuts dan Ya'uq.

Menghadapi Kaumnya Yang Degil:

Memberi nasihat dan menyampaikan dakwah bukanlah tugasan yang mudah. Hatta sebagai seorang Nabi, Nabi Nuh menghadapi pelbagai rintangan demi membawa manusia ke jalan yang benar. Kebanyakannya orang kaya yang menghina dan mencemuh Nabi Nuh AS dan pengikut-pengikutnya yang miskin. Bahkan, mereka tidak percaya bahawa Nabi Nuh adalah utusan yang dihantar oleh Allah SWT kepada mereka.

Segala usaha untuk berdakwah dan sampaikan nasihat kepada mereka gagal. Nabi Nuh mula bermuhasabah dan berfikir akan nasib kaumnya yang sangat degil ini. “Apa yang harus aku lakukan pada mereka agar mereka dapat menerima perintah Allah SWT dengan hati yang terbuka?”. Kemudian, Nabi Nuh meminta petunjuk daripada Allah SWT. Nabi Nuh meminta Allah SWT agar menurunkan azab yang sangat berat kepada kaumnya dan Allah pun mengabulkan permintaannya.

Bersedia Menghadapi Banjir Besar :

Dengan itu, Allah SWT pun mengarahkan Nabi Nuh untuk membina sebuah bahtera besar. Bahtera itu mempunyai 3 lantai, panjangnya dalam 200 meter, lebarnya 70 meter dan tingginya dalam 25 meter. Ini bukanlah satu tugasan yang mudah bagi Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya yang beriman. Namun, disebabkan Nabi Nuh ini juga seorang tukang kayu, ia memudahkan sedikit untuk beliau dan pengikutnya membina bahtera yang besar tersebut. Ketika mereka membina bahtera tersebut, orang-orang Kafir menghina dan mencela mereka. Namun, Nabi Nuh hanya bersabar.

Bahtera Nabi Nuh

Bertahun lamanya mereka membina bahtera tersebut. Datang seorang wanita dan anaknya bertanya kepada Nabi Nuh tentang bila akan banjir itu diturunkan. Namun, Nabi Nuh mengetahui bahawa ini semua rahsia Allah SWT. Malaikat Jibril pun turun kepada beliau dan berkata, “Bila terdapat air mencurah dari rumah wanita tua itu, maka saat itulah banjir besar akan tiba”. Nabi Nuh menyampaikan pesanan itu kepada kaumnya dan semenjak itulah mereka sering ke rumah wanita tua itu.

Saat Tibanya Banjir Besar:

Setibanya hari yang gerun itu, langit menjadi gelap dan awan menebal. Kekejaman Raja Darmasyil semakin memuncak. Berlari seorang anak kecil sambil memberitahu Nabi Nuh bahawa air sudah mencurah dari rumah wanita tua itu. Dan ketika itulah, Nabi Nuh mengarahkan semua kaumnya serta haiwan-haiwan untuk menaiki bahtera tersebut. Pada masa yang sama, kilat mula menyambar dan bergemuruh bunyinya serta hujan yang turun tidak berhenti.

Air mula mencurah dari kawasan pergunungan dan bukit-bukau. Nabi Nuh tetap menunggu anak lelakinya. Saat tiba-tiba anak lelakinya itu, dia bergerak untuk naik ke bahtera itu namun, anak lelakinya terus sombong dan berkata bahawa dia akan naik ke atas gunung untuk menyelamatkan dirinya. Nabi Nuh memanggilnya sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, anaknya terus keluar dari banjir besar itu.

tsunami banjir besar

Hujan terus turun tanpa henti selama 40 hari. Selepas 40 hari, hujan pun berhenti, matahari pun mula bersinar dan muncullah pelangi. Mereka pun berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT atas keselamatan yang dikurniakan. Hujan reda, udara ditelan bumi dan kehidupan berlangsung seperti biasa. Nabi Nuh dan pengikutnya meninggalkan bahtera tersebut dan membina peradaban baru di tempat yang berdekatan dengan Gunung Judi.

Perginya Seorang Nabi yang Tabah:

Nabi Nuh sedang duduk sambil menikmati sinar matahari dan datanglah Malaikat Maut untuk menjemputnya. Malaikat Maut bertanya akan kehidupannya di dunia yang lama. Nabi Nuh pun menjawab, “Kehidupanku di dunia ini seperti aku bergerak di tempat tadi ke tempat teduh ini”. Lalu beliau menutup matanya dan pergilah seorang Nabi yang tabah lagi bersabar. Disebabkan itulah, Allah SWT berfirman dalam surah As-Saffat, ayat 79

سَلَٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ فِى ٱلْعَٰلَمِينَ

yang bermaksud, “Salam sejahtera ke atas Nuh di seluruh alam” kerana beliau telah menyelamatkan manusia daripada kehancuran.

Wallahu a'lam

Penulis: Hasanah Maznan

Siri Pasukan Sirah

Sumber Maklumat:

  • https://www.merdeka.com/jabar/kisah-nabi-nuh-mengenai-azab-allah-dan-keikhlasan-yang-perlu-diteladani-kln.html
  • The Greatest Stories Of Al-Qur'an karya Syeikh Kamal As-Sayyid.

Tinggalkan komen


Sila ambil perhatian, ulasan mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan