Seorang Nabi yang dikurniakan dengan wajah yang paling kacak, beliau juga disayangi oleh Ayahanda Nabi Ya'qub AS Walaupun beliau dibenci dan disingkirkan oleh adik beradiknya, Allah SWT telah kurniakan ke atas dirinya salah satu perjalanan yang sangat indah di muka bumi ini. Mendapat nikmat seperti wajah yang kelihatan tidak pernah mendorong dirinya untuk melakukan maksiat dan melupakan Tuhan yang Esa.
Kita teruskan perjalanan ketika Nabi Yusuf telah dipenjarakan oleh Raja Mesir yang bernama Ar-Rayyan bin Al-Walid kerana peristiwa bersama Zulaikha. Setelah lamanya beliau dipenjarakan, kini, Allah SWT pun menurunkan pertolongan menerusi mimpi yang Raja Ar-Rayyan dapat ketika tidur. Pada suatu hari, Ar-Rayyan bermimpi bahawa beliau ternampak 7 ekor sapi betina gemuk dimakan oleh 7 ekor sapi betina kurus. Beliau juga nampak 7 bulir gandum hijau dan 7 bulir gandum kering. Daripada saat itu, Ar-Rayyan merasakan bahawa mimpi ini merupakan satu tanda.
Keesokan harinya, beliau pun memanggil beberapa orang ahli nujum untuk tafsirkan mimpinya semalam. Namun, mereka rata-rata mengatakan bahawa mimpi itu hanyalah permainan tidur. Setelah beberapa kali berlalu, Ar-Rayyan mula resah akan mimpi itu. Seorang pelayan istana datang padanya dan memberitahu beliau bahawa ada seorang lelaki di dalam penjara yang boleh tafsirkan mimpi.
“Siapakah orangnya itu?” tanya Ar-Rayyan.
“Yusuf, Tuanku” jawab pelayan itu.
Menurutnya, Nabi Yusuf AS menjadi sahabat karibnya semasa beliau ditugaskan di penjara tersebut. Pelayan itu percaya bahawa Nabi Yusuf AS adalah orang yang jujur dan benar. Demikianlah, Raja Mesir itu pun memanggil Nabi Yusuf AS untuk beliau menafsirkan mimpi Sang Raja.
Menurut Nabi Yusuf AS, mimpi yang Ar-Rayyan bukanlah sekadar permainan tidur, namun satu petunjuk dan arahan daripada Allah SWT. Bahawa satu hari nanti, Mesir akan dilanda musim kemarau panjang, maka, Allah SWT mengarahkan kepada rakyat Mesir bercucuk tanam selama 7 tahun lamanya agar tidak akan merasakan kelaparan dan kehausan ketika masanya sudah tiba.
Dalam kitab Tafsir al-Munir, jilid 12, muka surat 277, penulis Dr Wahbah Zuhaili mentafsirkan bahawa sapi-sapi itu menandakan kesuburan tanaman melalui proses penyuburan (fertilisasi).
Ternyata, apa yang ditafsirkan Nabi Yusuf AS memang benar dan Mesir dilanda kemarau selepas 7 tahun mereka bersedia untuk menghadapinya. Ar-Rayyan berasa bersyukur dan berterima kasih kepada Nabi Yusuf AS dan daripada situlah sebabnya Sang Nabi daripada diperuk dalam penjara.
Dalam kitab Tafsir al-Munir, jilid 12, muka surat 275, penulis Dr Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa mimpi yang dilalui Ar-Rayyan merupakan sebab untuk membebaskan Nabi Yusuf AS daripada penjara kerana beliau tidak bersalah. Itulah hikmah atas peristiwa penafsiran mimpi tersebut.
Selepas dibebaskan dari penjara, Nabi Yusuf AS membersihkan dirinya dan memakai pakaian yang bersih. Dengan itu, beliau ditabal sebagai menteri kewangan Mesir oleh Raja Ar-Rayyan bin al-Walid kerana cekapnya Nabi Yusuf AS dalam bidang politik dan kewangan pada ketika itu.
Dipetik dari kitab Tafsir al-Munir, jilid 13, muka surat 9:
Berlakulah dialog antara Nabi Yusuf AS dan Ar-Rayyan:
Nabi Yusuf berdoa sebelum berjumpa dengan Raja tersebut, “Ya Allah, aku mohon padaMu kebaikan daripadanya (Sang Raja) dan aku mohon perlindungan dengan kekuasaan-Mu daripada kejahatannya (Sang Raja)”.
Kemudian, beliau memberi salam dalam bahasa Arab ketika masuk ke dalam kamar Raja.
Ar-Rayyan pun bertanya, “Bahasa apa yang digunakan itu?”.
“Bahasa pakcik-ku, Nabi Ismail, Tuanku” jawab Nabi Yusuf AS
“Bahasa adakah itu?” tanya Ar-Rayyan, ingin tahu lagi.
“Bahasa keturunanku” sahut Nabi Yusuf AS
Itulah kali pertama bahasa Arab diperdengarkan kepada Raja Mesir yang pada ketika itu menggunakan bahasa Ibrani.
Wallahu a'lam
Penulis: Hasanah Maznan
Siri Pasukan Sirah
Tinggalkan komen